GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Chukai: Polis mempelawa pemilik kamera papan pemuka atau 'dashcam' agar tampil menjadi saksi untuk setiap kes kemalangan atau samseng jalan raya bagi membantu kelancaran Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kerjasama tersebut akan memudahkan siasatan pihak polis terhadap setiap laporan kemalangan yang diterima sepanjang operasi tersebut dilaksanakan.

"Dengan pendekatan ini semua pemilik dashcam akan menjadi mata-mata awam kepada semua agensi penguatkuasaan," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan seorang lelaki tempatan yang memandu secara berbahaya di jambatan berdekatan Taman Alam Perdana, Jalan Air Putih di sini, seperti dalam sebuah rakaman video dashcam yang tular ditahan pihaknya pada 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, rakaman berkenaan membantu siasatan polis mendapatkan waktu kejadian yang tepat, iaitu pada 8.15 pagi, 8 Februari lalu.

"Suspek berusia lingkungan 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Permohonan reman akan dibuat pada esok dan ujian air kencing sedang dijalankan pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:30 PM