ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di kebun sawit dekat Kampung Padang Sari, Parit Sulong. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di kebun sawit dekat Kampung Padang Sari, Parit Sulong. FOTO Ihsan Bomba
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadam kebakaran kebun kelapa sawit di Kampung Parit Padang Sari, Jalan Simpang 5, dekat Parit Sulong, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Ayub Majid berkata, kebakaran di kawasan seluas hampir tiga hektar itu disedari pemiliknya sebelum menghubungi bomba.

Beliau berkata, operasi pemadaman bermula jam 10 pagi membabitkan sembilan anggota dengan tiga jentera.

"Disebabkan keadaan kawasan itu tanah gambut, operasi memadam api mengambil masa agak lama.

"Bomba terpaksa mengambil sumber air sejauh lebih dua kilometer untuk memadam kebakaran susulan parit berdekatan kering.

"Kita menggunakan air pam daripada jentera untuk memudahkan proses pemadaman," katanya memaklumkan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.30 malam.

Dalam pada itu, Ayub menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang kebakaran terbuka bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan jerebu serta peka dengan maklumat cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.

"Negara berdepan cuaca kemarau jadi, bomba meminta orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:27 PM