KEADAAN di Gaza makin parah dan bantuan suka disampaikan buat rakyat Palestin. FOTO REUTERS
KEADAAN di Gaza makin parah dan bantuan suka disampaikan buat rakyat Palestin. FOTO REUTERS
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Palestin perlu disokong dengan bantuan setara seperti yang diterima Israel dari negara pakatannya supaya rejim Zionis itu mampu ditewaskan.

Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sudah tiba masanya pemimpin negara Islam membuat keputusan penting untuk menyelamatkan rakyat Gaza yang kini semakin kritikal dibedil dan disekat Israel.

"Perang di Gaza semakin kritikal sebab sekarang ini mereka berada dalam musim sejuk dan menghampiri bulan Ramadan sebab itu serangan itu dari utara semakin hari semakin ke selatan.

"Jadi sekarang bukan lagi rakyat tetapi peranan pemimpin negara Islam bersatu buat satu keputusan besar iaitu berikan sokongan kepada Palestin dalam bentuk bantuan sepadan contohnya jika Amerika Syarikat beri Israel berpuluh bilion dolar, bantuan ketenteraan dan aset perang sepatutnya negara Islam terutama negara bersempadan juga patut hantar bantuan sama baru kita kata bantuan itu setara.

"Namun jika Palestin hanya dibantu biskut, makanan dan air tidak padan untuk menjatuhkan Israel," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan agresif Israel yang semakin mara memusnahkan tempat perlindungan 1.4 juta rakyat Gaza di Rafah yang digelar rejim itu sebagai koridor selamat sebelum ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, cabarannya apabila sebahagian negara besar Islam sukar bertindak menyokong Palestin berikutan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sejak sekian lama.

"Masalah itu berlaku apabila sebahagian daripada negara besar Islam telah melakukan normalisasi dengan Israel jadi sukarkan negara itu membantu Palestin.

"Antara negara yang buat hubungan diplomatik dengan Israel contohnya Mesir, Jordan, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sudan dan Maghribi, malah Arab Saudi pun ke arah untuk mengiktiraf Israel.

"Pendirian negara itu bukan saja mempengaruhi negara Arab lain bahkan negara Asean lain juga," katanya.

Namun katanya, pembaharuan dibuat Yaman dan Afrika Selatan yang menyokong Palestin diharap menjadi contoh kepada negara lain membuka mata terhadap genosid yang sedang berlaku di Gaza.

"Tindakan Yaman yang menutup laluan laut kepada kapal yang datang ke Israel dan tindakan Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), satu perkembangan bagus.

"Malah, minggu depan ada satu lagi pendegaran yang akan difailkan beberapa negara untuk mengheret Israel.

"Kalau sekiranya ditiru negara lain sudah tentu akan beri kesan kepada Israel dan kita harap usaha ini semua akan mengubah keadaan sedang berlaku di Gaza sekarang," katanya.

Rafah yang padat dengan penduduk Gaza berlindung, dibedil Israel bertubi-tubi selepas menerima arahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Pihak berkuasa kesihatan merekodkan, lebih 100 orang awam terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita dengan ratusan lagi dilaporkan cedera sejak serangan awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 4:19 PM