Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Mary Victoria Dass


Johor Bharu: Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah manifestasi kehendak majoriti rakyat Kelantan memilih Pas sebagai kerajaan negeri sejak lebih 33 tahun lalu menerusi lapan pilihan raya umum (PRU).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, lebih 90 peratus rakyat negeri itu yang beragama Islam memilih Pas kerana membawa agenda untuk memartabatkan undang-undang syariah di Kelantan.

Menurutnya, apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan membentangkan rang undang-undang enakmen berkenaan, pihaknya percaya kerajaan negeri sedar langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebelum diluluskan dengan mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Katanya, terdapat tiga faktor yang mendorong kelulusan enakmen berkenaan iaitu berkaitan politik, sejarah dan budaya rakyat Kelantan sekali gus berbeza dengan kebanyakan negeri lain.

"Kelantan adalah sebuah negeri berdaulat dalam sebuah Persekutuan yang 'super' berdaulat.

"Rakyat Kelantan memilih Pas di Kelantan melalui peti undi pilihan raya, bukannya secara ugut dan paksa. Pas memerintah di Kelantan melalui pilihan raya yang demokratik mengikut lunas-lunas demokrasi, bukannya melalui kekerasan.

"Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah manifestasi yang asasi kehendak majoriti rakyat Kelantan yang memilih kerajaan Islam pimpinan Pas dalam lapan PRU berturut-turut sejak 1990," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat yang menyokong dasar pelbagai kaum dan agama di Malaysia, beliau mahu semua pihak dapat bersikap adil.

Katanya, beliau yakin Dun Kelantan dan kerajaan negeri tidak meluluskan enakmen itu secara semberono, tetapi selepas memahami kehendak rakyat malah memahami risikonya.

"Apabila kita berbicara soal menang dan kalah, soal majoriti dan minoriti, maka ada faedahnya jika kita merenung kata-kata Mahatma Gandhi: 'In matters of conscience, the law of the majority has no place'.

"Dalam hal ini, perkataan conscience yang disebut Mahatma Gandi itu adalah relevan.

"Apa yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu itu bukan isu 'conscience' atau isu hati nurani, tetapi isu keperlembagaan atau 'constitutionality'," katanya.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:50 PM