NGA Kor Ming (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Makan Tengah Hari sempena Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) hari ini. FOTO Bernama
NGA Kor Ming (tengah) bergambar bersama tetamu pada Majlis Makan Tengah Hari sempena Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) hari ini. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: 'Saya rasa beliau (Nga Kor Ming) faham sejarah, dia mungkin nak hilangkan sejarah hitam pada New Village (Kampung Baru Cina) yang ada orang Cina pernah sokong Parti Komunis Malaya (PKM).

'Kalau dia nak hilangkan sejarah hitam itu, maka dia akan buat pembohongan dalam sejarah, kita tidak boleh 'putihkan' orang Cina yang sokong PKM.'

Demikian ulasan Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkaitan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, untuk mencalonkan New Village di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Ramlah berkata, perkampungan itu diwujudkan British untuk menyekat orang Cina menyokong PKM yang membantu memberi makanan, ubat-ubatan dan sokongan.

"New Village ini dibina British di tepi dan pinggir hutan, setiap seorang diberi 10 ekar (empat hektar) tanah dan dikepung dengan dawai kawat serta dijaga pasukan polis dipanggil 'Special Constable' pada 1948.

"Kampung ini didirikan British untuk menyekat orang Cina yang dikatakan menyokong PKM yang ketika itu berjuang untuk dapatkan kuasa politik lawan British.

"Mengikut sejarah, New Village ini ditubuhkan atas dasar yang tidak boleh dibanggakan, adakah kita nak iktiraf New Village ini sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco dan kita nak bagi tahu ini satu kebanggaan orang Cina," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah Nga tidak faham sejarah di sebalik terbinanya New Village, Ramlah berkata, menteri itu mungkin faham sejarahnya namun beliau mahu menghilangkan tanda noktah atau sejarah hitam di sebalik penubuhan perkampungan itu.

"Mereka sokong PKM lah mereka dapat tanah percuma 10 ekar satu keluarga, dalam New Village itu disediakan sekolah, kebun sayur, itu makna bukan satu sejarah dibanggakan kerana peranan mereka menyokong PKM.

"Adakah PKM itu satu parti halal? PKM ini diharamkan dan ditolak British," katanya.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan New Village kerana tidak ada monumen yang boleh dipertontonkan untuk generasi baharu.

"Dulunya hanya terdapat rumah papan, sekarang sudah tidak ada, kebanyakan rumah digantikan rumah batu dan jadi pekan, orang yang sokong PKM juga ramai sudah meninggal dunia, jadi apa nak dibanggakan.

"Berbeza dengan Melaka yang sememangnya tempat bersejarah. Contohnya Sungai Melaka yang menjadi laluan kapal nak serang Melaka, wajarlah kita pelihara dan iktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 1:46 PM