GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelaksanaan pengurangan had laju di semua jalan persekutuan di Malaysia daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j, yang berkuat kuasa 8 hingga 13 Februari ini dilihat mampu melancarkan perjalanan pada musim perayaan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, warta kelajuan dibuat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bertepatan kerana membabitkan kenderaan berat.

"Warta kelajuan dibuat oleh KKR manakala JPJ hanya mewartakan had kenderaan berat pada 8 dan 9 Februari serta 12 dan 13 Februari.

"Pewartaan pengurangan had laju dibuat oleh KKR ini adalah langkah yang baik kerana kelajuan kenderaan berat sering kali mengganggu kelancaran trafik di mana lebih banyak kenderaan di atas jalan raya pada musim perayaan," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha yang dapat membantu kelancaran kenderaan pada terutama pada musim perayaan.

"Kedua-dua pihak (JPJ dan KKR) saling membantu dalam usaha melancarkan perjalanan kenderaan dan meningkatkan usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

"Diharap pengguna jalan raya juga dapat mematuhi had yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan atau kemalangan," katanya.

Terdahulu media melaporkan KKR mewartakan pengurangan had laju akan dilaksanakan di semua jalan persekutuan di Malaysia daripada 90 km/j kepada 80 km/j, berkuat kuasa 8 hingga 13 Februari 2024.

Pewartaan pengurangan had laju itu ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan dalam tempoh berkenaan, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Sabtu dan Ahad ini.

Selain itu, pewartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan.

KKR turut memaklumkan, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan supaya tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tarikh operasi, kecuali kerja kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 4:05 PM