Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di negara ini yang bakal menyambut perayaan itu, Sabtu ini dengan harapan Tahun Naga membawa simbol kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan.

Beliau menyifatkan perayaan besar di negara ini memberi peluang kepada rakyat menyemai prinsip-prinsip universal tersebut sambil menegaskan rakyat Malaysia mesti teruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani.

"Di pihak kerajaan, kerja kita akan lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya. Ekonomi mesti dibangunkan secara saksama, mampan dan berkebajikan, kebejatan (kerosakan) mesti dijauhkan serta perpaduan diperkukuh.

"Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina. Semoga perayaan tahun baharu pada tahun ini membawa kebahagiaan yang melimpah dan rezeki yang bertambah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Anwar turut memuat naik video ucapan Tahun Baharu Cina dalam Facebook.

Memasuki tahun baharu kalendar lunar pada 10 Februari 2024, Tahun Naga merupakan antara detik yang paling diraikan kerana mengikut ilmu warisan masyarakat Cina kuno, feng syui, tahun ini bakal membawa perubahan yang besar kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 12:41 PM