FAHMI Abd Moin
FAHMI Abd Moin
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mana-mana pihak yang masih dalam perbicaraan mahkamah tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berikutan bimbang menimbulkan subjudis sehingga berisiko mengganggu prosiding.

Peguam bela dan peguam cara, Fahmi Abd Moin berkata, pihak pendakwa dan pembelaan perlu menghormati dan mematuhi ketetapan mahkamah iaitu merit kes itu hanya boleh dibincangkan, dikemukakan dan dihujahkan di hadapan hakim.

"Kes berkepentingan awam biasanya akan menarik minat masyarakat dan sudah tentu akan ada perbincangan, komen serta trial by media akan timbul.

"Jadi, mana-mana pihak sama ada pendakwa atau pembela atau pihak lain termasuk orang kena tuduh (OKT) haruslah mengelak daripada membincangkan kes yang sedang berjalan kerana dikhuatiri akan menimbulkan isu subjudis," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pengendali sebuah laman web penstriman yang menjemput individu digelar

'Hot Daddy' yang masih dalam perbicaraan mahkamah atas dakwaan membuat pengiklanan khidmat persundalan dalam aplikasi X.

Kemunculan 'Hot Daddy' dalam satu rakaman platform audio siar atau podcast baru-baru ini, menimbulkan kemarahan dan kekecohan umat Islam selain beberapa mufti turut menegur kerana seolah-olah menyokong dan mempromosikan aktiviti persundalan.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil malam tadi yang mengingatkan podcaster supaya menjaga adab dan melakukan kawalan kendiri.

Beliau turut mengesahkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah tidak mengesan sebarang video dikaitkan dengan kemunculan 'Hot Daddy' itu kemungkinan tidak dimuat naik atau sudah diturunkan platform itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, mahkamah boleh membenarkan satu perintah larangan sekiranya mendapati wujud elemen menjurus kepada subjudis akibat penyiaran podcast terbabit.

"Dalam kes ini, jika pihak pendakwa mendapati podcast itu membincangkan perkara dalam pertuduhan yang boleh mengakibatkan risiko terhadap keadilan perbicaraan.

"Perkara dibincangkan itu tidak mempunyai remedi sesuai untuk mengurangkan risiko subjudis serta sama ada gag order (perintah larangan) perlu dan sesuai untuk pihak pendakwa memastikan keadilan perbicaraan.

"Jika mahkamah mendapati ketiga-tiga elemen ini timbul akibat daripada siaran podcast itu, maka satu gag order akan dibenarkan dan mana-mana pihak harus mematuhi arahan itu," katanya.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu mengakibatkan satu prosiding menghina mahkamah boleh diambil kepada pihak ingkar.

"Contempt of court(menghina mahkamah) boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan dan denda.

"Arahan ini turut terpakai kepada pengendali podcast itu juga walaupun siaran itu sudah dipadam dari platform media sosial, satu gag order boleh dikenakan supaya orang lain tidak buat perkara sama," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, bersama dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, bulan lalu, atas dakwaan melakukan aktiviti persundalan di aplikasi X.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dengan hakim Siti Aminah Ghazali, yang membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Februari depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, polis dilaporkan menahan gigolo tempatan kerana merakam dan menjual video lucahnya bersama lebih 20 wanita termasuk individu yang mengupahnya untuk khidmat seks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 10:28 AM