Tun Abdul Taib Mahmud
Tun Abdul Taib Mahmud
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, 87, kini menerima rawatan di kediamannya di Demak Jaya, di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan perkara itu sambil memaklumkan bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun itu berkeadaan baik.

Menurutnya, setakat ini lapan laporan berhubung isu membabitkan Abdul Taib diterima, selepas beliau dibawa keluar dari Hospital Pakar Normah, Petra Jaya, tengah malam Sabtu lalu.

"Ya, Tun kini berada di rumahnya sendiri di Demak Jaya tetapi kita tidak boleh memberikan butiran lanjut.

"Ini kerana kes masih dalam siasatan selepas polis menerima lapan laporan sehingga kini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Op Selamat sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Ketika ditanya lapan laporan polis itu diterima daripada pihak mana, Mancha enggan mengulas lanjut.

"Ia tidak boleh didedahkan kerana pihak kami masih menjalankan siasatan,"katanya.

Sabtu lalu, seorang doktor Hospital Pakar Normah membuat laporan polis selepas Abdul Taib didakwa dibawa keluar dari hospital itu secara paksa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 12:20 PM