ABDUL Taib Mahmud
ABDUL Taib Mahmud
Mohd Roji Kawi


Kuching: Adik bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Mohamnad Tufail Mahmud mahu isteri kedua abangnya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib bertanggungjawab sepenuhnya jika sesuatu berlaku terhadap Tun Abdul Taib Mahmud.

Mohammad Tufail dalam laporan polis yang dibuatnya yang tular di media sosial sejak semalam mendakwa, mereka sekeluarga termasuk empat anak Abdul Taib tidak mengetahui keadaan sebenarnya tokoh berusia 87 tahun itu.

Menurutnya, Abdul Taib 'diculik' oleh Raghad dari unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta, tengah malam Sabtu lalu.

Malah katanya, Raghad juga mengabaikan nasihat perubatan apabila tidak berbincang dengan kakitangan ICU selain tidak berunding dengan keluarga sebelum membawa Abdul Taib keluar dari hospital.

"Tiada adik beradik mahupun anak kandung abang (Abdul Taib) yang tahu kedudukannya serta keadaan kesihatannya sekarang.

"Berdasarkan keadaan kesihatan abang saya dan laporan polis yang dibuat oleh doktor, saya dan keluarga amat prihatin terhadap kesihatan dan keselamatannya dan membuat laporan untuk menggesa polis menyiasat perkara itu dengan segera dan melindungi abang saya," katanya dalam laporan itu.

Mohammad Tufail mendakwa sebelum ini beliau diberi salinan laporan polis yang dibuat oleh doktor di Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching, tempat Abdul Taib menerima rawatan rapi.

Dalam laporannya, doktor terbabit mendakwa bahawa Abdul Taib dibawa secara paksa dari hospital walaupun dinasihatkan beliau perlu kekal di kemudahan itu untuk rawatan.

Sementara itu, Raghad dalam satu surat yang dihantar kepada media awal pagi tadi merayu kepada rakyat Sarawak agar menghentikan tuduhan dan sangkaan buruk terhadapnya.

Raghad berkata, beliau menyedari berita mengenai insiden melarikan Abdul Taib dari sebuah hospital pakar yang tersebar sejak beberapa haru lalu.

"Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita portal dalam media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

"Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib.

"Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini," katanya.

Raghad turut merayu agar semua pihak tidak percaya akan sebarang khabar angin bahawa beliau akan melarikan diri.

"Walaupun saya adalah asing asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

"Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat," katanya.

Berita berkaitan:

Raghad nafi bawa keluar Taib Mahmud bertentangan dengan nasihat doktor

Polis sahkan terima laporan Tun Taib dibawa keluar hospital

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 11:04 AM