HANTARAN Ragahd di Instagram menafikan dakwaan  beliau membawa suaminya keluar dari hospital bertentangan dengan nasihat doktor. FOTO Instagram
HANTARAN Ragahd di Instagram menafikan dakwaan beliau membawa suaminya keluar dari hospital bertentangan dengan nasihat doktor. FOTO Instagram
Fuad Nizam


Kuala Lumpur: Isteri bekas bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud menepis dakwaan bahawa beliau membawa suaminya keluar dari hospital yang bertentangan dengan nasihat doktor.

Dalam hantaran di Instagram, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menafikan dakwaan terbabit yang membawa kepada laporan polis hingga siasatan dilancarkan.

"Itu tidak benar. Ini buktinya," tulisnya pada hantaran Instagramnya yang melampirkan bersama nota jururawat.

Nota terbabit bertarikh 2 Februari yang menyaksikan tulisan tangan sukar dibaca dan dipercayai ditandatangani seorang jururawat bernama Benedette Tommy.

Laporan polis yang didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta itu tular di media sosial, hari ini.

Susulan itu, portal berita yang berpangkalan di London mendakwa berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang doktor berkenaan, Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik secara paksa ke rumahnya di Demak Jaya di Kuching.

Polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian Tun Abdul Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta, tengah malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dipetik berkata, siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

"Polis Kontinjen Sarawak mengesan satu posting tular membabitkan bekas TYT Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang dimuat naik di media sosial.

"Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara ini dan tidak membuat sebarang spekulasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:53 PM