Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan kerajaan pimpinannya 'longgar' dalam memerangi rasuah.

Perdana Menteri menegaskan, dakwaan terbabit tidak benar kerana proses badan kehakiman membabitkan isu rasuah masih diteruskan.

"Tiada ugutan, malah (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada di sini, dia tak pernah beri kata dua kepada saya, ada hak dia atau parti memohon supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan.

"Sama ada saya suka atau tidak, rakan atau musuh politik, prinsip keadilan dan proses itu harus dihormati," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahmad Zahid, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, ada juga pihak yang mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan, namun tidak pernah bersuara atau menyokong tindakan kerajaan dalam memerangi rasuah khususnya ke atas bekas pemimpin.

"Jadi kita nak jaga tata kelola atau kepentingan parti atau kepentingan kelompok mereka?

"Ini yang berlaku saudara sebab saya tengok beberapa kenyataan begitu keras terhadap seseorang yang sudah dipenjara, yang masih ada kesnya.

"Malah ada yang juga kata ini dendam politik lama, dendam apa saudara?" soalnya.

Katanya, tekad kerajaan dalam memerangi rasuah dapat dilihat dengan tindakan tegas diambil badan penguatkuasaan terhadap pelbagai pihak.

"Semua saudara terbabit dalam penggunaan kemudahan SPANCO (membekalkan kenderaan kerajaan) dan tindakan serta sikap saya keras terhadap SPANCO itu sejak saya jadi Menteri Kewangan dahulu.

"Saya tidak tahu di mana salahnya tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara, saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam tetapi kita lesu tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak," katanya.

Justeru, beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak akan sesekali berundur daripada usaha memerangi rasuah kerana pendirian dalam perkara itu tidak pernah berganjak.

"Paling kuat saya diserang adalah (kerana) tindakan saya mengarahkan semua agensi mengambil (tindakan) tegas supaya dapat selamatkan negara daripada kecurangan pemimpin yang menggeledah, memunggah kekayaan luar biasa.

"Saya juga sudah berikan arahan kepada polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) ambil tindakan, saya tidak peduli siapa pun yang diambil tindakan," katanya.

Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:20 AM