Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Klang: 'Mereka memang kurang ajar, tambah lagi jika mereka berkumpul beramai-ramai pada hujung minggu. Kita warga tempatan pula dipandang seperti orang pendatang," itu antara luahan beberapa penduduk sekitar Pekan Pelabuhan Klang, di sini, susulan kebanjiran warga asing di daerah ini sejak beberapa tahun lalu.

Warga asing terbabit turut didakwa menjalankan aktiviti pelacuran serendah RM50 membabitkan wanita berasal daripada negara jiran.

Difahamkan, warga asing terbabit menggunakan lorong-lorong belakang kedai bagi menjalankan aktiviti terkutuk itu.

Idrus Mohd Hanifah, 51, yang sudah menetap lebih tiga dekad di kawasan itu turut menyifatkan warga asing di daerah itu sebagai besar kepala dan biadap.

"Mereka tidak hormat orang tempatan, selalu mabuk dan buat benda bukan-bukan," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini hari ini.

Beberapa penduduk tempatan yang ditemui di lokasi serbuan memuji dan menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur bandar itu yang dipenuhi warga asing tadi.

Polis menahan warga asing ketika Op Khas Aman 1/2024 di Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Polis menahan warga asing ketika Op Khas Aman 1/2024 di Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR

Berdasarkan maklumat awal lebih 400 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi selama lebih kurang dua jam tadi.

Ketika serbuan dilakukan, ada segelintir Pati cuba bersembunyi di atas bumbung namun berjaya dikesan oleh dron PDRM.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Bandar 'warga asing' digempur dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Pekan Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Ratusan warga asing ditahan untuk diperiksa dalam operasi yang diketahui Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini jam 1.30 tengah hari tadi.

Sekitar lima lori membawa beberapa kumpulan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang lengkap bersenjata mengepung kawasan itu bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Tinjauan awal wartawan Harian Metro mendapati antara warga asing ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Nepal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 4:08 PM