IBU Pejabat SPRM. FOTO NSTP
IBU Pejabat SPRM. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai puluhan juta ringgit.

Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan yang dijalankan SPRM terhadap ahli perniagaan berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

Menurut sumber, sebelum ini SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat seorang ahli perniagaan yang berusia 70-an itu serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

Sumber berkata, SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi penting agensi kerajaan terbabit dan juga individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan kenderaan Kerajaan Malaysia.

"Lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit yang berada di bawah kawalan Tan Sri berkenaan dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.

"Daripada jumlah itu, SPRM membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:26 PM