Ewon Benedik
Ewon Benedik
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: 'Jaga Sabah', demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dikongsikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, titah itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah pada Majlis Keberangkatan Balik Tuanku dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

"Semasa Majlis Keberangkatan Balik Tuanku dan Raja Permaisuri di Dataran Parlimen, Tuanku berpesan titah kepada saya, 'jaga Sabah'. Legasi Tuanku dan pesan titah ini akan terus saya junjung untuk berinisiatif yang terbaik buat negara.

"Institusi Diraja mempunyai peranan besar dalam sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan. Rakyat menjunjung institusi ini dan rakyat akan terus memberi taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO), berkata, Al-Sultan Abdullah meninggalkan legasi terbaik dalam memperkasakan nasionalisme rakyat Malaysia berasaskan perpaduan kaum.

Pertamanya, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan titah supaya perpaduan menjadi teras penubuhan kerajaan persekutuan yang dijunjung pimpinan kerajaan hari ini di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pergolakan politik dan kekerapan pertukaran teraju serta pimpinan kerajaan persekutuan dalam tempoh singkat memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi, kemajuan dan tadbir urus negara.

"Sebab itulah Tuanku menitahkan supaya kepentingan negara harus diutamakan dan dijayakan melalui perpaduan serta seluruh rakyat. Saya dan parti saya akan terus mendukung titah ini," katanya.

Ahli Parlimen Penampang itu, berkata, yang kedua legasi baginda dizahirkan melalui Kembara Kenali Borneo pada September tahun lalu.

Katanya, menerusi kembara itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berjaya melonjakkan nasionalime rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.

"Kehadiran baginda berdua sekali gus memperkasakan lagi semangat perpaduan rakyat yang sudah lama menjadi identiti negara di wilayah Borneo.

"Menyantuni rakyat dan menyertai acara-acara kebiasaan rakyat sepanjang jelajah itu menjadi cetusan terbaik Tuanku buat rakyat jelata sekali gus menebalkan setia rakyat kepada raja dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 3:44 PM