Norzamira Che Noh


Klang: Polis menahan enam wanita lagi bagi membantu siasatan berhubung kes lelaki tempatan yang menjalankan aktiviti merakam dan menjual aksi hubungan intim dengan lebih 20 wanita melalui aplikasi media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 36 tahun itu diberkas pada minggu lalu menerusi fasa kedua Op Daddy.

"Siasatan mendapati keenam wanita itu melakukannya (hubungan seks) secara sukarela, tiada paksaan dan ada yang bermotifkan keuntungan.

"Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan bagi mengesan individu lain yang terlibat dalam penghasilan video seks," katanya pada sidang media selepas program libat urus, di sini, hari ini.

Jumaat lalu lelaki tiga anak dikenali 'Hot Daddy' yang ditahan kerana merakam dan menjual aksi seks melalui aplikasi X dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 7:50 PM