NOR Hisham memeriksa perbarisan hormat anggota JBPM pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Ibu Pejabat JBPM. FOTO Samadi Ahmad
NOR Hisham memeriksa perbarisan hormat anggota JBPM pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Ibu Pejabat JBPM. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi tumpuan kepada tiga kawasan dikenal pasti menjadi punca kebakaran ketika negara berdepan musim kering yang dsjangka teruk berbanding sebelum ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kawasan itu ialah tanah gambut, tempat pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan sampah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, JBPM mengesan 406 kawasan titik panas (hotspot) di seluruh negara setakat ini dan menjangkakan negara berdepan musim kering lebih teruk berbanding tiga tahun sebelum ini.

Katanya, ia akan menyebabkan berlaku lonjakan kebakaran di beberapa lokasi utama dan menjadi kerisauan kepada JBPM.

"Lokasi dijangka berlaku kebakaran adalah di kawasan tanah gambut di Selangor, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Datuk Ahmad Izram Osman dan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Nordin Pauzi.

Nor Hisham berkata, cabaran dihadapi JBPM ialah kebakaran itu sukar dipadamkan dan mengambil masa yang lama serta memerlukan kos tinggi.

Katanya, JBPM juga berdepan kelompangan perlindungan kebakaran sekiranya berlaku kebakaran di kawasan lain dan terpaksa meletakkan ramai anggota untuk bertindak.

Dalam pada itu katanya, tahun lalu sebanyak 100 kes pendakwaan di mahkamah dan memperolehi bayaran denda berjumlah RM518,300 kerana pelanggaran Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341)"katanya.

Nor Hisham berkata, 96 kes dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dengan jumlah 221 pertuduhan. Manakala empat kes pendakwaan (12 pertuduhan) membabitkan Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dan akan menjalani proses perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 12:24 PM