TANGKAP layar video tular di media sosial
TANGKAP layar video tular di media sosial
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: "Bayar sini RM100, bayar di balai RM300," itu kata-kata seorang lelaki dipercayai anggota polis trafik ketika menahan pasangan warga asing yang juga pempengaruh media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 30 minit dan 24 saat itu tular di media sosial hari ini.

Menurutnya, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika mereka ditahan di lokasi kejadian.

"Jam 4.30 petang hari ini JSPT mengesan video tular di platform YouTube dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun ke atas pasangan dari United Kingdom (UK) yang sedang melakukan edisi jelajah Malaysia itu.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular selepas video memaparkan tindakan anggota polis terbabit dimuat naik menerusi halaman YouTube pasangan berkenaan sejak semalam sebelum dikongsi oleh beberapa pengguna media sosial.

Klip video itu memaparkan pasangan terbabit ditahan oleh seorang individu dipercayai anggota JSPT kerana didakwa memandu melebihi had laju.

Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j) sementara had laju di laluan itu hanyalah 60 km/j lalu mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya.

Menerusi video itu pasangan itu menjelaskan berasa keliru dengan tindakan anggota terbabit namun memilih untuk menerima tawaran diskaun berbanding membuat pembayaran di balai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 9:59 PM