PASUKAN bomba menjalankan operasi menurunkan peluncur udara yang tersangkut pada pokok setinggi 50 meter. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba menjalankan operasi menurunkan peluncur udara yang tersangkut pada pokok setinggi 50 meter. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Korea Selatan berdepan detik cemas apabila tersangkut di pokok ketika melakukan aktiviti sukan luncur udara (paragliding) di Bukit Kokol, Manggatal, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, Cha Woo Sung, 50-an, ditemukan tersangkut di atas pokok setinggi 50 meter sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.51 tengah hari.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melakukan luncur udara dan tersangkut pada pokok setinggi 50 meter.

"Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dan mengambil masa kira-kira 40 minit untuk membawa mangsa turun daripada pokok.

"Mangsa dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada 4.50 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 5:34 PM