Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyampaikan bantuan banjir sumbangan Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim peringkat Jajahan Pasir Mas di Dewan Utama, Kompleks Apam Putra, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyampaikan bantuan banjir sumbangan Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim peringkat Jajahan Pasir Mas di Dewan Utama, Kompleks Apam Putra, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Kerajaan negeri bercadang untuk memasang jaring di beberapa lokasi yang kerap berlaku kes terjun jambatan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

"Kita akan bincang untuk buat jaring tapi buat masa terdekat ini kita mulakan dengan Solat Hajat dulu di kawasan Jambatan Tendong (Pasir Mas), pada 5 Februari ini, jam 10 pagi mohon pada Allah supaya dihindarkan daripada ada mangsa seterusnya.

"Berkenaan cadangan dibina penghadang jambatan oleh pihak bomba, ia boleh dipertimbangkan supaya tidak berlaku lagi kejadian tidak diingini di masa akan datang.

"Melakukan tindakan tak sepatutnya seperti terjun jambatan bukan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi kerana semua ada jalan penyelesaian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Nassuruddin hadir menyampaikan bantuan banjir sumbangan Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim peringkat Jajahan Pasir Mas di Dewan Utama, Kompleks Apam Putra, di sini.

Seramai 508 mangsa banjir membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Apam Putra, Meranti dan Gual Periok hadir menerima bantuan bernilai RM300 setiap seorang.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya sudah bersiap sedia jika banjir gelombang keempat berlaku memandangkan hujan lebat sejak tiga hari lalu.

"Kebiasaan kita di Kelantan banjir berlaku sebanyak tiga gelombang cuma kadang-kadang sahaja menjadi empat (gelombang).

"Tapi kalau ada (gelombang keempat), kita memang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi banjir cuma berdoa tiada walaupun tempohnya sehingga Mac," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:28 PM