HARVARD University di Cambridge, Massachusetts. FOTO Reuters
HARVARD University di Cambridge, Massachusetts. FOTO Reuters
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Seorang pemegang biasiswa memfailkan saman terhadap lima pihak termasuk sebuah sekolah antarabangsa dan pengetuanya kerana gagal membantu pelajar itu memasuki 15 universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS) termasuk Harvard, Stanford dan Yale.

Saman itu dikemukakan oleh wanita berusia 22 tahun yang juga pelajar Tingkatan Enam dari Ogos 2018 hingga Julai 2020 di sekolah terbabit, bersama ibu bapanya selaku plaintif.

Mereka menamakan sekolah itu, pengetua, kaunselor, ketua Tingkatan Enam dan syarikat mengawal operasi sekolah terbabit sebagai defendan.

Melalui penyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Januari lalu, pelajar berkenaan mendakwa sekolah itu gagal memberi kerjasama dan bantuan kepadanya dengan memastikan defendan lain bertindak mengikut perjanjian dan buku panduan.

"Defendan pertama (sekolah itu) gagal, cuai dan enggan menyediakan serta memberi plaintif surat cadangan mengikut kehendak dan amalan standard untuk tujuan permohonan ke universiti AS berpangkat atasan.

"Defendan pertama secara salah mengeluarkan surat cadangan ditandatangani oleh defendan ketiga dan keempat (masing-masing kaunselor dan ketua Tingkatan Enam), yang bukannya mengikut kehendak dan amalan standard.

"Defendan pertama gagal, cuai dan enggan memberi sebarang klarifikasi kepada beberapa universiti itu walaupun dimaklumkan atas kegagalan dalam memenuhi kehendak dan amalan standard dalam surat cadangan," katanya.

Menurut pelajar itu, sekolah berkenaan membenarkan defendan ketiga yang tidak didaftarkan dan diupah secara sah untuk bertindak sebagai kaunselor sekolah.

"Defendan pertama gagal, cuai dan gagal untuk bertindak segera memperbetulkan kesusahan dialami plaintif.

"Ia dengan memaklumkan universiti berpangkat atasan atas kecuaian yang sebenarnya dilakukan defendan," katanya.

Pemegang biasiswa berkenaan mendakwa mengalami kerugian terhadap peluang kerjaya pada masa depan dan RM5,476 iaitu jumlah bayaran bagi permohonan kemasukan ke universiti terbabit.

"Plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan melanggar perjanjian dan melakukan kecuaian.

"Satu injunksi wajib bahawa defendan secara bersama dan berasingan merangka, menyedia serta menyampaikan penyataan bertulis kepada universiti terbabit.

"Ia bagi menerangkan, mengakui kesilapan dan kecuaian diakibatkan oleh defendan-defendan atau mana-mana satu daripada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 5:10 PM