Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: "Kongsikan, ini mungkin video terakhir saya."

Itu antara pesanan pembuat filem dan pengembara Palestin, Wizard Bisan yang kini berada di Hospital Nasser, Khan Younis, selatan Gaza, yang menjadi sasaran serangan tentera Israel sejak malam tadi.

Bisan yang sempat membuat beberapa rakaman video memberitahu, keadaan semakin getir di kompleks perubatan itu apabila Israel berterusan menembak dan mengebom kawasan sekitar secara rawak.

"Saya cuba mencari isyarat talian Internet untuk kongsikan apa yang berlaku.

"Keadaan di sini sangat rumit, tiada talian Internet dan tentera Israel terus mengepung hospital.

"Macam tak percaya, mereka bom sana sini dan bunyi bom sangat dekat di sekeliling kami," katanya yang berjaya menyiarkan hantaran mengenai situasi semasa menerusi Instagram, pagi tadi.

Dalam video itu, kedengaran suara riuh-rendah orang ramai dengan diselangi bunyi tembakan dan pengeboman di kawasan itu.

Bisan berkata, tentera penjajah mahu menyerang kemudahan itu, hospital terakhir yang masih beroperasi di Semenanjung Gaza serta menempatkan ribuan orang cedera dan puluhan ribu yang kehilangan tempat tinggal.

"Puluhan ribu orang lari bertempiaran menyelamatkan diri tanpa ada arah tuju.

"Saya tak pernah lagi melihat apa yang lebih buruk daripada ini dalam hidup saya!

"Ini jenayah kemanusiaan! Apa yang berlaku di Hospital Al-Shifa, Hospital Kamal Adwan dan Hospital Indonesia sebelum ini berulang di depan mata dunia!" katanya.

Bisan juga sempat merayu supaya dunia menghentikan pembunuhan beramai-ramai di negaranya serta memberi keadilan kepada rakyat Palestin yang semakin ditindas.

Sementara itu, pempengaruh Palestin, Saleh Al-Jafarawi turut berkongsi situasi sama di kompleks perubatan itu menerusi Instagram.

"Pertempuran sangat ganas dan bunyi kuat meriam di mana-mana sahaja.

"Kami boleh mendengar bunyi senjata api dengan begitu jelas sekali," katanya.

Berdasarkan Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel dalam tempoh 24 jam mengorbankan 158 mangsa serta 320 lagi cedera sehingga menyaksikan angka korban meningkat kepada 24,285 orang dengan 61,154 lagi cedera selama 103 hari konflik Asia Barat itu meletus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:21 AM
ORANG ramai lari bertempiaran apabila kawasan Hospital Nasser diserang Israel secara berterusan sejak malam tadi. FOTO IG Saleh Al-Jafarawi
ORANG ramai lari bertempiaran apabila kawasan Hospital Nasser diserang Israel secara berterusan sejak malam tadi. FOTO IG Saleh Al-Jafarawi