SAIFUDDIN Nasution. FOTO NSTP.
SAIFUDDIN Nasution. FOTO NSTP.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang pemimpin perlu mengungkap perkataan lebih beradab, berbanding menggunakan perkataan kurang sopan seperti 'barua' ketika membuat kenyataan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai pemimpin, pemilihan perkataan sangat penting dalam memberi contoh yang baik kepada rakyat.

"Saya Muslim, agama mengajar saya akhlak adab akidah syariah. Jadi pilihan perkataan ini saya fikir biar kita hati-hati dan perkataan yang seumpama itu (barua) kita elakkan.

"Pertama kerana dia tak memberikan gambaran bahawa seorang pemimpin itu harus menunjukkan sikap yang lebih cantik kepada rakyat, itu lebih kondusif saya fikir," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan kerja ke projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah-Anak Bukit di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, ungkapan seperti itu juga perlu dielakkan bagi menjaga hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan termasuk agensi berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan agensi penguatkuasaan tidak menjadi 'barua' kepada pihak yang memiliki kepentingan politik.

Perkataan itu diungkapkan beliau selepas sukar menerima tindakan SPRM menahan empat individu Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) yang disyaki terbabit rasuah RM6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 6:10 PM