ROSMAH, gambar fail. FOTO NSTP
ROSMAH, gambar fail. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu ditetapkan 26 Mac ini.

Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, tarikh baharu prosiding rayuan bagi anak guam mengetepikan sabitan kes rasuah, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta masih tidak ditetapkan di Mahkamah Rayuan kerana pendengaran di Mahkamah Persekutuan belum dilupuskan.

"Sebutan untuk mengetepikan sabitan kes rasuah di Mahkamah Rayuan hari ini dijadualkan semula pada 8 Februari depan, hanya ada sebutan kes dan tiada tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan ditetapkan setakat ini," katanya.

Pada 7 Julai tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy, membenarkan permohonan Rosmah, untuk menangguhkan prosiding rayuan.

Keputusan itu selepas seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan permohonan itu dibuat dengan niat baik tanpa melengahkan prosiding rayuan itu selain menegaskan rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu dilupuskan terlebih dahulu.

Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai dilaporkan mengesahkan tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai tahun lalu untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 22 Jun 2023, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 73, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, selain didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

From: SR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 11:06 AM