Sanusi (kanan), Mahdzir. FOTO Arkib NSTP
Sanusi (kanan), Mahdzir. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya tidak terlalu emosi berikutan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pegawai Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), kata Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi tidak perlu terlalu emosi kerana agensi terbabit hanya menjalankan tugas dalam proses siasatan yang dilakukan mereka.

"Saya fikir Menteri Besar Kedah ni koyak, koyak kuat sangat, dia tak perlu emosional, tak perlu emosi. Apabila disiasat, sepatutnya Menteri Besar kata serah pada urusan penguat kuasa untuk siasatan.

"Kalau Perdana Menteri sekali pun mungkin akan guna perkataan itu, serah pada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Kalau ada kes, adalah kes itu. Kalau tak ada tak apalah.

"Tapi cara dia maki hamun mengatakan barua itu, saya ingat tak adil untuk kakitangan kerajaan dan media sendiri," katanya pada sidang media di Bangunan Tunku di sini, hari ini.

Terdahulu SPRM menahan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA serta dua wakil syarikat perunding kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM6 juta dari sebuah syarikat.

Setakat ini, siasatan ke atas individu terbabit masih diteruskan dengan Muhammad Sanusi selaku Presiden KFA turut dipanggil SPRM bagi memberi keterangan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 4:13 PM