MARIYAH dan Ezuan Hafsham hadir bersama peguam pada sebutan kes mereka di Mahkamah Sesyen 3di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MARIYAH dan Ezuan Hafsham hadir bersama peguam pada sebutan kes mereka di Mahkamah Sesyen 3di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Peniaga wanita asal Kemboja dan anak lelakinya yang sedang menghadapi pertuduhan berasingan mengeluarkan kenyataan dan memulakan komunikasi video jelik mendakwa orang Melayu sebagai malas di media sosial, tahun lalu, akan menghantar representasi berhubung kes itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Kamal Hisham Jaafar mewakili tertuduh Mariyah Yaakob, 47, dan Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22, pada sebutan kes berkenaan yang didengar Hakim Darmafikri Abu Adam di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

"Kami sudah berbincang dengan pendakwaan dan akan menghantar dua representasi berhubung kes ini untuk pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya.

"Pohon tarikh sebutan baru untuk mendapatkan status representasi berkenaan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memberitahu pendakwaan sudah menyerahkan dokumen kes kepada pembelaan pagi tadi dan disahkan oleh peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 27 Februari depan bagi mengetahui status representasi sama ada diterima atau ditolak.

Pada 7 Disember lalu, dua beranak itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan berasingan dihadapi mereka ketika dituduh di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail di Mahkamah Sesyen 2.

Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan iaitu "… so ada apa-apa, kalau orang Kemboja memang pandai meniaga kan, betul tak? dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas…" dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada 16 November lalu, kira-kira jam 6 petang.

Rakaman itu kemudian ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini dan berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ezuan Hafsham yang juga Pengarah Mariyah Holding turut tidak mengaku bersalah atas tuduhan secara sedar menggunakan aplikasi TikTok dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:23 PM