GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tiga penyamun bawah umur disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata membabitkan seorang warga asing ditahan dalam serbuan berasingan sekitar Cheras di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 14 dan 15 tahun itu ditahan jam 2 pagi susulan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Cheras.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam kes samun berkawan bersenjatakan pisau membabitkan mangsa seorang lelaki warga asing di Taman Connaught, Cheras, di sini.

"Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan niat seorang remaja 14 tahun mahu mencari duit poket menjadi mimpi ngeri apabila dia dipaksa oleh pelajar senior untuk menyamun menggunakan senjata di sekitar Cheras di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, mangsa yang bimbangkan keselamatannya kerana diugut selepas enggan terbabit dengan aktiviti itu dikatakan membuat laporan polis semalam.

Mengulas lanjut Ridzuan berkata semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Reman ke atas ketiga-tiga suspek ini dibenarkan selama lima hari bermula hari ini hingga 14 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Cheras di talian0392845050/5051 atau Polis Kuala Lumpur 0321159999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 6:53 PM