Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Pesara swasta menjadi mangsa terbaharu 'phone scam' selepas mendakwa diperdaya individu menyamar pegawai polis mengakibatkan kerugian lebih RM540,000.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 75 tahun, semalam mendakwa terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai polis.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon melalui aplikasi WhatsApp sekitar November tahun lalu yang memintanya menekan butang sembilan.

"Selepas menekan butang 9, panggilan disambungkan kepada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai polis dan memberitahu pengadu terdapat rekod jenayah didaftarkan atas namanya.

"Panggilan seterusnya disambungkan kepada seorang individu lain yang turut memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis yang menyatakan pengadu akan ditangkap dan direman.

"Pengadu seterusnya ditawarkan untuk membuat laporan secara dalam talian dan mengarahkan pengadu mengikut segala arahan yang diberikan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan takut, pengadu mengikut arahan suspek dengan mengeluarkan wang daripada akaun bank miliknya dan memasukkan wang terbabit ke dalam akaun lain yang juga miliknya berjumlah RM543,000.

Menurutnya, pengadu juga mengikut arahan suspek untuk meletakkan dan meninggalkan kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta nombor pin di satu lokasi yang diarahkan.

"Pada peringkat awal, pengadu tidak rasa curiga, namun pada awal bulan ini, pengadu membuat semakan akaun dan mendapati terdapat transaksi pindahan keluar wang daripada akaun terbabit ke beberapa penama yang pengadu tidak kenali berjumlah RM540,047.97.

"Pengadu mengesyaki dia ditipu lalu membuat laporan polis," katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:16 PM