SANUSI (kiri) dan Mahfuz. FOTO arkib NSTP
SANUSI (kiri) dan Mahfuz. FOTO arkib NSTP
Ahmad Mukhsein Mukhtar

Alor Setar: Tindakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melabelkan agensi kerajaan dan media sebagai 'barua' dianggap sebagai keterlaluan dan tidak wajar dibuat individu yang memegang jawatan Menteri Besar.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituduh ke tahap itu apabila bertindak menyiasat pihak yang ada kaitan dengan PAS.

Katanya, pihak media dan wartawan juga dikecam apabila menyiarkan laporan berita mengenai penahanan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Ini suatu keterlaluan apabila seorang Menteri Besar boleh maki hamun bukan saja SPRM, malah media apabila dia kata kamu lapor (berita) buat apa, kamu pun menzalimi orang, ini suatu yang memalukan.

"Dia harus sedar dia seorang Menteri Besar, bukan boleh bercakap lepas ikut sedap mulut untuk melabelkan semua agensi yang bertindak. Akhirnya kita seperti nak mengikat agensi penguat kuasaan dari bertindak kalau berlaku kesalahan.

"Ini bukan isu mereka itu orang miskin atau kaya, tetapi mereka ini disiasat. Jadi sepatutnya serah kepada pihak penguat kuasa sama ada SPRM atau polis untuk siasat dahulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, perbuatan menggelar pihak berkuasa itu juga boleh dilihat sebagai cubaan mengganggu SPRM yang masih meneruskan siasatan kes rasuah membabitkan CEO KFA.

Jelasnya, disebabkan itu SPRM disaran bertindak mengambil langkah membersihkan imejnya semula selepas dikecam pihak terbabit.

"Tak seharusnya begitu, tak perlu meletakkan wartawan dan media yang melaporkan berita apa yang berlaku dan disebut di mahkamah sebegitu, jangan anggap orang yang melapor juga sebagai barua dan menzalimi orang lain.

"Jadi susah apabila golongan garis keras ini anggap begitu, maka kena tutup balai polis, pejabat SPRM, ikut suka mereka. Ini bukan zaman 'Raja Bersiong.' Seolah-olah nak ganggu siasatan bila kecam orang sebagai barua.

"SPRM perlu mengambil langkah membersihkan nama dari tuduhan ini kerana Ketua Pesuruhjayanya dilantik Agong, dia menerima watikah daripada Agong. Jadi seolah-olah agensi di bawah Agong ini termasuk polis ini jadi barua, benda ini sangat melampau," katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi mengingatkan agensi penguatkuasaan tidak menjadi 'barua' kepada pihak yang memiliki kepentingan politik selepas tidak dapat menerima tindakan SPRM menahan empat individu disyaki terbabit kes rasuah bernilai RM6 juta.

Berita berkaitan:

'Saya target sebenar' - Sanusi

CEO KFA dilepas dengan jaminan SPRM

Sanusi mula 'bongkar' plot tahan reman CEO KFA

KFA sahkan pegawainya ditahan untuk siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 12:05 PM