GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Wanita berputih mata apabila wang miliknya berjumlah lebih RM1.08 juta lesap akibat terpedaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, kelmarin, pihaknya menerima laporan polis dibuat wanita berusia 45 tahun yang juga kerani syarikat swasta mendakwa menerima panggilan telefon, awal November lalu dan diberitahu akaun banknya terbabit pengubahan wang haram.

"Individu itu menawarkan diri untuk membantu pengadu dan pengadu diarahkan untuk menyerahkan butiran akaun bank yang dimilikinya termasuk akses kepada perbankan dalam talian.

"Butiran itu diberikan kepada suspek kononnya sementara siasatan polis dijalankan. Pengadu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diserahkan suspek.

"Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang berjumlah RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun sebelum suspek gagal dihubungi," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Kumar berkata, semalam, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat warga emas berusia 70 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.

Menurut beliau, pesara syarikat swasta itu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang individu, September lalu yang menjanjikan pulangan pelaburan lumayan dalam tempoh singkat.

"Pada peringkat awal, pengadu cuba melabur dengan nilai kecil dan menerima keuntungan dijanjikan, menyebabkan pengadu percaya dengan skim pelaburan terbabit dan membuat pelaburan secara berperingkat sehingga berjumlah RM1,204,363.

"Pengadu menyedari dia ditipu selepas mendapati wang keuntungan atas pelaburannya tidak dapat dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuk diarahkan membuat bayaran-bayaran lain," katanya.

Kumar berkata, kedua-dua kes yang membabitkan kerugian berjumlah RM2,290,713 disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 12:55 PM