Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Siasatan rasuah membabitkan individu ternama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini tidak seharusnya dikaitkan dengan sebarang bentuk muslihat oleh pentadbiran kerajaan ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan, siasatan itu membuktikan komitmen agensi penguat kuasa rasuah dalam menjalankan siasatannya tanpa mengira latar belakang individu atau dipengaruhi pihak tertentu.

"SPRM menjalankan tugas dia dan tidak mengira kedudukan sama ada dia Tun, Tan Sri. Kalau tidak ia, kritikannya apa? Ikan kecil ini ditangkap, yang kepala-kepala tak boleh disentuh.

"Bila sentuh masih ada yang pertahankan dan gunakan pengaruh, media terutama media sosial. Biarkan siasatan dibuat," katanya ditemui media selepas hadir solat Jumaat di Masjid Kota Damansara di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.

Terdahulu, Anwar ditanya mengenai tindakan sitaan oleh SPRM ke atas Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini yang dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat bertarikh 18 Disember lalu disiarkan semalam melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu kekayaan yang dikaitkan dengan pemimpim tertentu bukanlah satu perkara baharu.

"Dia bukan rahsia umum. Seorang yang memunggah kekayaan begitu besar. Biarlah ada siasatan supaya pemimpin jangan dilihat sebagai melindungi perasuah besar.

"Jadi itulah tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran. Setiap kali kita sentuh 'orang besar', maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil yang kita sentuh, tidak ada apa-apa. Jadi sistem apa begitu," katanya.

Anwar menjelaskan, tindakan siasatan dilaksana badan penguat kuasa negara mesti menunjukkan contoh keberanian khususnya dalam mengambil tindakan terhadap perasuah besar.

"Kita bukan mewakili satu sistem yang bobrok. Sistem kita mesti menunjukkan contoh keberanian untuk bertindak kepada perasuah besar.

"Apakah ia benar atau tidak, biarlah proses dijalankan dan kemudiannya badan kehakiman memutuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 3:43 PM