TANGKAP layar rakaman tular di media sosial
TANGKAP layar rakaman tular di media sosial
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Polis mengesan pemandu sebuah lori yang mengundur dan merempuh gerai menjual makanan berhampiran sebuah stesen minyak di AU2 Keramat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya terkesan satu rakaman video menunjukkan kejadian itu yang tular di media sosial.

"Rakaman video terbabit memaparkan sebuah lori yang berada di pekarangan stesen minyak AU2 Keramat mengundur dan terlanggar gerai jualan makanan yang terletak di tepi jalan berkenaan.

"Sehingga kini polis belum menerima laporan daripada pemandu lori atau peniaga yang terbabit kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta individu terbabit atau saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-92740112 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman berdurasi 47 saat menunjukkan sebuah lori secara tiba-tiba mengundur dan melanggar gerai berkenaan.

Pemandu lelaki dilihat membuka pintu dipercayai cuba untuk memberhentikan kenderaannya itu namun melanggar gerai sebelum berhenti pada sebatang pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 8:15 PM