Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah. FOTO Ihsan Portal Rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan
Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah. FOTO Ihsan Portal Rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mohamad Zabidin mendahului senarai 298 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke istiadat itu.

Pada istiadat pengurniaan itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada sasterawan negara Prof Madya Lim Swee Tin.

Seri Paduka turut berkenan menganugerahkan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada 10 individu antaranya Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) dianugerahkan kepada 12 individu, Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 40 individu, Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) kepada seorang penerima dan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 55 individu.

Seri Paduka juga berkenan menganugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) kepada 178 individu.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 1:46 PM