AZALINA menghadiri prosiding perbincaraan jenayah Stampa di Mahkamah Madrid, Sepanyol secara dalam talian, hari ini. FOTO Bernama.
AZALINA menghadiri prosiding perbincaraan jenayah Stampa di Mahkamah Madrid, Sepanyol secara dalam talian, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia mahu Mahkamah Madrid menjatuhi hukuman penjara ke atas Gonzalo Stampa yang didakwa menghina mahkamah dan berulang kali mengingkari perintah mahkamah yang membatalkan pelantikan beliau sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan mahkamah dalam kes itu amat penting kerana ia memberikan kekuatan yang lebih kepada kerajaan Malaysia untuk mematikan semua tuntutan Kumpulan Sulu yang disifatkan amat merepek.

"Keputusan ini juga sebagai satu jaminan untuk kita mematikan sebarang tuntutan (sama) di mana-mana negara yang berkemungkinan timbul selepas ini.

"Keduanya, saya berharap kalau boleh dia dipenjara bukan sahaja didenda sebab perangai dia yang betul-betul kurang ajar dan biadap kepada Malaysia," katanya dalam sidang media secara dalam talian selepas menghadiri prosiding perbicaraan jenayah Stampa di Mahkamah Madrid, Sepanyol hari ini.

Pada 25 Mei 2020, Stampa memberikan award akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dan dalam usaha untuk menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg serta Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk kedutaan).

Azalina berkata, mahkamah menangguhkan keputusan kes itu ke tarikh lain yang belum ditetapkan.

Beliau juga berkata, Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia telah menuduh Stampa melakukan jenayah menghina mahkamah yang serius serta melakukan amalan profesional tanpa kelayakan.

"Kesemua pertuduhan ini adalah berdasarkan kepada fakta bahawa Stampa secara terbuka dan dengan sengaja mengingkari beberapa perintah yang mengikat daripada Mahkamah Tinggi Madrid," katanya.

Menurut Azalina, pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan satu penghakiman selaras dengan undang-undang kes terbabit dan memutuskan bahawa sebagai negara asing, Malaysia telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.

"Justeru, mahkamah itu telah membatalkan pelantikan Stampa dan semua tindakannya serta mengarahkan agar Malaysia dipanggil secara wajar manakala prosiding timbang tara itu dimulakan kembali. Perintah pembatalan pelantikan Stampa kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol selepas warga Filipina terbabit gagal dalam rayuan mereka," katanya.

Azalina juga berkata, susulan pembatalan pelantikan Stampa itu, Mahkamah Tinggi Madrid berulang kali memerintahkan beliau secara bertulis agar segera menamatkan timbang tara berkenaan.

"Bagaimanapun, Stampa enggan mematuhi perintah mahkamah dan bertindak mengingkarinya secara terang-terangan yang sekali gus menjejaskan kedaulatan undang-undang.

"Bagi memenuhi agenda jahat dan tidak beretikanya, Stampa dengan sengaja tidak mengendahkan perintah Mahkamah Tinggi Madrid serta bertindak memindahkan timbang tara itu dari Madrid ke Paris atas permintaan warga Filipina terbabit bagi mengelak pengawasan oleh Mahkamah Sepanyol di mana beliau telah berjanji untuk mematuhi arahan semasa mula-mula dilantik sebagai penimbang tara," katanya.

Beliau juga berkata, sebelum mengumumkan award akhir terhadap Malaysia dan sebagaimana yang dibuktikan melalui dokumen di hadapan mahkamah, Stampa telah menerima bayaran lebih US$2.5 juta daripada warga Filipina terbabit.

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Malaysia yang mempunyai keyakinan penuh dan tidak berbelah bagi terhadap sistem keadilan Sepanyol, telah memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya untuk membeli forum di negara lain.

Azalina berkata, memandangkan fakta yang dilapor telah dipertikai oleh Stampa sendiri, Pendakwa Raya Madrid bertindak memfailkan aduan terhadapnya kerana menghina menghina mahkamah dan bagi kesalahan jenayah melibatkan diri dalam amalan tanpa kelayakan.

"Stampa tidak akan diadili oleh mahkamah jenayah Sepanyol kerana bertindak sebagai penimbang tara sebaliknya kerana telah menghina mahkamah secara serius dengan mengingkari perintah langsung Mahkamah Tinggi Madrid yang mengikat semua warganegara itu tanpa mengira aktiviti profesional mereka.

"Tindakan beliau telah menimbulkan kebimbangan khususnya mengenai keperluan untuk menegakkan tataamalan beretika, integriti, profesionalisme dan amalan baik oleh penimbang tara iaitu asas kepada mana-mana timbang tara yang sah.

"Ini penting bagi memelihara keyakinan mana-mana pihak yang memilih timbang tara untuk menyelesaikan pertikaian mereka dan jika gagal, boleh menyebabkan keseluruhan platform bagi penyelesaian pertikaian secara alternatif terjejas serta terancam," katanya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kepercayaan penuh terhadap sistem keadilan jenayah Sepanyol dan kepentingan semua prosiding ini dalam menegakkan keluhuran timbang tara antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:43 PM