ANGGOTA bomba membawa turun mayat pemandu lori yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Tok Kaya, Machang. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba membawa turun mayat pemandu lori yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Tok Kaya, Machang. FOTO Ihsan Bomba.
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Pemandu lori maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pertukangan di bumbung rumahnya di Kampung Tok Kaya, Labok, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa, Johari Tahar, 54, ditemukan tidak sedarkan diri oleh isterinya kira-kira 5 petang.

Katanya, sebelum itu, mangsa yang pulang dari tempat kerja, terus melakukan kerja pertukangan bagi penambahan bahagian atas kediaman dan dibantu isteri.

"Ketika bertukang, mangsa memegang kerangka besi bumbung dan dipercayai terkena renjatan elektrik.

"Isteri mangsa menjerit meminta pertolongan dan didengari jiran yang juga anak saudara mangsa. Dia kemudian menghubungi talian 999 untuk bantuan," katanya dalam kenyataan.

Mohd Adli berkata, mangsa berjaya dibawa turun dengan bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang pada 7 malam dan disahkan meninggal dunia, sebelum mayat dihantar ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kerja penambahan tingkat atas rumah sudah dilakukan mangsa selama hampir tiga tahun, secara berperingkat.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Machang, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mokhtar Che Mah berkata, tujuh anggota ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 5.18 petang.

Katanya, kerja penyelamatan segera dilaksana sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.18 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:18 PM