GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang wanita terselamat daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas tempat kurungannya di Taman Sanctuary, Machang Bubok di sini, diserbu polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, serbuan itu dibuat susulan laporan berkaitan kes pemerdagangan orang dan kurungan salah membabitkan wanita tempatan.

Menurutnya, polis berjaya menyelamatkan wanita berusia 24 tahun yang dikurung dalam rumah itu.

"Polis kemudian menahan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang turut berada di dalam premis.

"Siasatan awal mendapati, lelaki itu menguruskan mangsa untuk dihantar ke negara jiran (Asia Tenggara), untuk bekerja sebagai operator bersama satu sindiket penipuan dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata, pihaknya merampas dua kenderaan dan satu komputer riba serta peralatan berkaitan aktiviti pelacuran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dan dadah di talian 04-5382222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 4:41 PM