Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR). (Gambar hiasan)
Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR). (Gambar hiasan)
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan Negeri Melaka memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya berhasrat mengembalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) yang dibatalkan sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan projek yang dirancang beberapa tahun lalu itu dihidupkan kembali.

Kata beliau, kerajaan negeri percaya, menerusi kewujudan HSR, sektor ekonomi negeri akan berkembang sekali gus bakal menyaksikan Melaka sebagai negeri yang membangun berasaskan perindustrian, setara dengan beberapa negeri membangun lain.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya projek ini mahu dipulihkan semula kerana ia memberi impak positif terhadap ekonomi rakyat dan Melaka.

"Saya menyambut baik cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahu projek berkenaan dihidupkan kembali demi kepentingan rakyat dan negara," katanya dihubungi, semalam.

Sultan Ibrahim sebelum ini dilaporkan bertitah mahukan projek HSR KL-Singapura yang dibatalkan, dihidupkan semula.

Dalam temu bual eksklusif dengan 'The Straits Times' Singapura, baginda bertitah yang baginda turut mempunyai beberapa idea serta cara bagi mengembalikan projek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 4:39 PM