GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penganggur hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana merompak wang tunai RM50 milik seorang lelaki di sebuah tempat letak motosikal dengan menggunakan sebilah pisau, minggu lalu.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas M Krishnamurthi, 49, mengaku bersalah merompak Chai Fuh Chang, 43, di tempat letak motosikal MRT Jinjang di sini, pada 11.55 pagi, 7 Disember lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Disember lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh yang menggunakan pisau sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Krishnamurthi yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:44 PM