PARWEZ menggunting rambut pelanggannya di kedai miliknya yang ditutup dengan penghadang projek Jambatan Manjalaraja di Medan Putra. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PARWEZ menggunting rambut pelanggannya di kedai miliknya yang ditutup dengan penghadang projek Jambatan Manjalaraja di Medan Putra. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lebih 30 peniaga di Medan Putra, Seberang Jalan Putra dekat sini kecewa dan tertekan kerana menanggung kerugian akibat kerja pembinaan semula Jambatan Manjalara sejak lapan bulan lalu.

Pengerusi Peniaga-Peniaga Medan Putra, Parwez Ahmad Nesan Ahmad berkata, mereka tidak diberi penjelasan berkaitan jalan penyelesaian oleh pihak berwajib sedangkan pendapatan terjejas hampir 90 peratus.

Katanya, sebahagian daripada premis perniagaan di situ bagaikan 'mati' terutamanya di kedai berhadapan jalan utama.

"Penghadang projek itu diletakkan betul-betul di hadapan kedai, jadi siapa yang nak datang ke premis kami?

"Kalau pelanggan nak datang ke kedai pun, mereka perlu melalui jalan yang cukup sempit dan tidak selesa.

"Disebabkan masalah itu, perniagaan di sini terus terjejas hinggakan ada dalam kalangan peniaga di sini sudah gulung tikar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Parwez berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) mempunyai perancangan untuk memindahkan kesemua 36 peniaga ke lokasi lain bagi mengatasi masalah itu.

Namun katanya, mereka memaklumkan hanya 18 peniaga akan dipindahkan ke lokasi berhampiran.

"Alhamdulillah, bangunan baharu untuk menempatkan 18 peniaga ini sudah siap tetapi mereka masih menunggu bila boleh berpindah.

"Selain itu kami tertanya-tanya juga, di mana 18 lagi peniaga hendak ditempatkan? Sedangkan apabila kami melihat dalam 'blueprint' projek pembinaan di sini, kedai kami sudah tidak lagi wujud pada masa depan," katanya.

Peniaga kedai runcit, Suhaimi Mat Saad, 56, mengakui perniagaannya terus terjejas hinggakan ada hari tidak dapat keuntungan langsung.

Katanya, dulu deretan kedai itu menghadap jalan utama dan hasil jualannya mampu mencecah sehingga RM300 atau RM400 sehari.

"Tetapi sekarang apabila kedai kami 'ditutup' dengan penghadang projek, saya selalu pulang dengan tangan kosong.

"Dulu saya buka kedai dari pukul 9 pagi hingga 10 malam tetapi sekarang saya biasanya buka sampai 6 petang saja tetapi itu pun ada kalanya langsung tiada pelanggan dan saya kini hanya mengharap bantuan anak-anak untuk meneruskan kelangsungan hidup kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:22 PM