TUAN Anis Effa Zulaikha ketika ditemui di Program Prihatin Darul Falah Bersama Anak-Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Marang. FOTO Nazdy Harun
TUAN Anis Effa Zulaikha ketika ditemui di Program Prihatin Darul Falah Bersama Anak-Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Marang. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Marang: "Saya tidak pernah lupa pesan arwah ibu meminta supaya belajar dengan rajin hingga berjaya dalam kehidupan," kata Tuan Anis Effa Zulaikha Tuan Enderi, 16.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai itu berkata, kehilangan ibunya Marlina Mat Jek akibat komplikasi barah usus, tulang selain ketumbuhan di dada dan otak, tiga tahun lalu memberi kesan mendalam dalam kehidupannya.

Menurutnya, keadaan berkenaan membuatkannya perlu berdikari dan akan sentiasa mengingati pesan ibunya hingga ke akhir hayat.

Menurutnya, dia bercita-cita ingin menjadi anggota polis dan akan berusaha sebaik mungkin dalam pelajaran bagi merealisasikan impian berkenaan.

"Insya-Allah walaupun sukar tanpa ibu di sisi, namun ia adalah takdir yang perlu saya lalui dan hari ini saya didedahkan dengan kehidupan di asrama anak-anak yatim ini.

"Alhamdulillah, bapa Tuan Endri Tuan Padang, 48, banyak memberi dorongan agar tidak patah semangat dan belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Tuan Anis Effa Zulaikha berkata demikian ketika ditemui pada Program Prihatin Darul Falah Bersama Anak-Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Marang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kamsah@Kamal Mohamed.

Pelajar lain, Siti Nur Umairah Abdul Aziz, 14, berkata dia kehilangan bapa ketika berusia enam tahun.

"Belum puas mengecapi kasih sayang seorang bapa, arwah pergi buat selamanya akibat deman dan penyakit di dalam perut.

"Kini saya dibesarkan oleh ibu Hazima Kamalizan Abdul Aziz, 52, yang melakukan kerja membuat kuih bagi membesarkan saya," kata pelajar SMK Seri Payung, di sini.

Katanya, dia akan berusaha mengejar cita-cita untuk menjadi doktor dan menyedari harapan besar yang diletakkan di bahunya oleh ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:18 PM