PENGUNJUNG boleh juga memeriksa gigi percuma sempena Setahun Kerajaan Madani. FOTO BERNAMA
PENGUNJUNG boleh juga memeriksa gigi percuma sempena Setahun Kerajaan Madani. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan pemeriksaan gigi percuma termasuk pembersihan karang gigi atau scaling dan tampalan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pegawai Pergigian di Klinik Kesihatan Seremban, Dr Nor Azmina Ahmad Roslan berkata, menerusi perkhidmatan klinik pergigian bergerak yang disediakan, pengunjung akan melalui proses tertentu sebelum menerima rawatan.

"Mereka perlu mendaftar di kaunter terlebih dahulu dan menjalani pemeriksaan gigi ringkas dan bagi gigi yang memerlukan scaling atau tampalan, kita akan lakukan prosedur berkenaan dalam bas khas (klinik bergerak).

"Kita sasar 100 orang sehari akan dapatkan pemeriksaan sepanjang program ini dan setakat ini, lebih 70 orang sudah mendaftar," katanya ketika ditemui Bernama pada program itu.

Selain klinik pergigian bergerak, KKM turut menganjurkan kempen derma darah dan saringan kesihatan.

Sementara itu, Dr Nor Azmina berkata, masyarakat harus membuang stigma bahawa memberus gigi dengan kuat dan menggunakan berus gigi berbulu keras menjadikan gigi lebih bersih.

Beliau menjelaskan masalah gusi adalah masalah gigi umum bagi golongan dewasa disebabkan cara memberus tidak betul dan memberus dengan tekanan kuat.

"Cara memberus gigi yang betul adalah menggunakan berus gigi lembut serta ubat gigi berflorida dan perlu ambil masa sekitar dua minit untuk setiap kali proses, serta melihat cermin semasa memberus bagi memastikan sampai kepada seluruh permukaan gigi," katanya.

Meskipun kesedaran terhadap kesihatan gigi semakin meningkat, masih terdapat dalam kalangan masyarakat memandang remeh penjagaan gigi, justeru Dr Nor Azmina menasihatkan orang ramai untuk menjalani pemeriksaan gigi enam bulan sekali atau sekurang-kurangnya setahun sekali.

Sementara itu, pengunjung Abdul Rahman Omar, 37, ketika ditemui berkata, dia menjalani pemeriksaan di klinik bergerak itu untuk mengetahui tahap terkini kesihatan giginya.

"Kali terakhir saya periksa gigi awal tahun lepas dan saya gunakan peluang yang ada di program ini untuk buat pemeriksaan terkini, prosesnya juga cepat," katanya.

Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani selama tiga hari bermula semalam, dari 9 pagi hingga 10 malam, memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 10:33 AM