GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin dan Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Penunggang e-hailing serta isterinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes anak mereka yang ditemui meninggal dunia di flat di Bandar Tun Razak, di sini, pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, suami isteri masing-masing berusia 30-an itu ditahan kelmarin.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 13 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Dua lagi anak pasangan berkenaan masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun pula dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Difahamkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun berkenaan (mangsa) dilahirkan pramatang yang menyebabkan dia mengalami beberapa masalah kesihatan," katanya pada Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Aidi Ismail.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan punca kematian kanak-kanak perempuan itu adalah disebabkan kekurangan nutrisi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 10:59 AM