Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa


Kuala Lumpur: Usikan terhadap jantina sejenis adalah hakikat yang tidak boleh disangkal berlaku dalam norma masyarakat di negara ini.

Ia sering disalah anggap kononnya sebagai gurauan semata-mata, namun sebenarnya mampu mengundang tekanan emosi terhadap mangsa.

Bukan sahaja terpaksa berdepan dengan perangai melampau si pelaku malah mangsa turut berada dalam dilema apabila isu membabitkan golongan lelaki kerap dipandang enteng.

Seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Faiz berkata, dia diperlakukan secara seksual fizikal oleh rakan sekerja lelaki hingga mengundang trauma dalam diri apabila diraba tanpa kerelaan.

Menurutnya, detik hitam itu tidak mudah dilupakan kerana berasakan ia sudah merobek maruahnya sebagai lelaki sejati selain dia masih menyimpan rasa marah terhadap si pelaku.

"Dia sudah melebih dengan buat benda yang tidak sepatutnya. Sembang boleh tapi bukan fizikal.

"Dia kena hormat sebagai manusia. Mungkin kita melayan bukan makna kita nak buat perkara macam itu. Itu menjengkelkan. Bagi saya, dia kurang ajar. Kita boleh terima dia tapi jangan melampau," katanya.

Faiz berkata, alasan hanya bergurau sering digunakan oleh pelaku bagi mengaburi tingkah laku itu supaya tidak diambil tindakan.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Khusyairi berkata, insiden diganggu secara seksual oleh penyelia lelaki di tempat kerja membuatkannya memilih untuk terus berdiam diri kerana bimbang akan menjejaskan pekerjaan jika melakukan sebarang aduan.

"Tidak selamat kalau saya melaporkan. Nanti ia berbalik kepada saya, jadi saya melihat kepada kerisauan kedudukan sebagai pekerja dan dia sebagai penyelia.

"Saya fikir masa depan saya juga tapi demi nak menjaga masa depan itu, saya terpaksa terima itu dengan hanya berdiam tapi dalam masa yang sama rasa trauma juga," katanya.

Selain itu, orientasi seksual dan kecenderungan terhadap jantina sejenis bermula seawal usia tujuh tahun mendorong ke arah berlakunya masalah ini.

Seorang pelaku yang enggan dikenali berkata, tindakan mendapatkan perhatian lelaki menerusi usikan seksual baginya adalah salah satu cara untuk mengurangkan tekanan emosi yang adakalanya mampu menjurus kepada respon suka sama suka daripada mangsa.

Menurutnya, sehingga pada usia 17 tahun, dia turut mengakui mula melakukan perbuatan seksual terhadap lelaki bagi memuaskan nafsunya.

"Saya suka lelaki tetapi kadang-kadang rasa malu. Jadi, saya menggunakan taktik cakap yang manis-manis dengan dia. Saya suka lelaki tetapi berasa sangat puas bila kacau apatah lagi kalau ada respons daripada mereka. Mungkin sesuatu keterujaan yang saya inginkan," katanya.

Tambah memuaskannya, katanya, apabila lelaki sejati yang diganggu itu mula bertukar menyukai jantina sejenis.

Sementara itu, aktivis anti gangguan seksual Fatihah Iliani Jamhari berkata, perbuatan gangguan seksual bermula daripada usikan dan gurauan lucah yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian masyarakat ketika ini.

"Masyarakat kita sudah dibiasakan dengan keadaan hiperseksualiti gurau secara lucah apabila berinteraksi guna perkataan lucah dianggap biasa. Jadi kadang-kadang mungkin tiada niat untuk ganggu tetapi kelucahan itu tetap berlaku.

"Apabila masyarakat melihat dan anggap satu isyarat bahawa perkara lucah ini sesuatu yang ringan, interaksi sosial sesama dia dianggap boleh untuk terus melakukan.

"Disebabkan itu, ia boleh berlaku di mana gangguan seksual itu dianggap sebagai gurauan atau perkara kecil sehingga mereka terus melakukan walaupun tahu bentuk sumbang dalam bicara mereka itu ada," katanya.

Pakar Psiko Kaunseling Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Nasrudin Subhi berkata, isu ini perlu ditangani secara holistik tidak kira jenis jantina dengan setiap mangsa perlu berani tampil ke hadapan.

"Seorang lelaki itu perlu merendahkan ego dia. Sebab pertama sekali untuk dia diklasifikasikan sebagai gangguan, dia harus merasa tersinggung. Kalau misalnya satu gangguan, dia diklasifikasikan sebagai masalah yang perlu diselesaikan.

"Dalam isu menangani masalah ini, pertama kena akui anda ada masalah dan perlu buka mulut. Jadi, sebenarnya mengambil langkah pertama itu adalah selalu langkah yang sukar untuk selesaikan sesuatu isu," katanya.

Menurutnya, jika sebarang perbuatan jenayah itu hanya dipendam, ia mampu mengundang implikasi psikologi yang lebih teruk terhadap mangsa.

"Dia akan berterusan mengalami isu yang sedang dialami. Katakanlah kalau dia rasa stres, dia akan merasa tekanan itu secara berlebihan. Kalau dia rasa murung, dia akan terus rasa murung dan kalau isu pengurusan mental ini tidak ditangani dengan baik, kita takut dia akan meningkat kepada keinginan bunuh diri.

"Sebabnya, dia merasakan diri dia tak berguna, kotor. Jadi, itu yang kita risaukan," katanya.

Menurutnya, pelaku juga perlu diberi perhatian dan bantuan berhubung kesihatan mental dan emosi supaya dapat memperbetulkan tingkah laku sumbang.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah golongan lelaki yang tampil melaporkan jenayah itu masih rendah.

Beliau berkata, wujud peningkatan aduan diterima menerusi advokasi yang dijalankan pihaknya.

"Kes kita 2020 ada 378 kes dan dilaporkan. Ia meningkat pada 2021 kepada 506 kes dan sedikit penurunan pada 2022 iaitu 477 kes tapi ini kes yang dilaporkan. Mungkin ada kes yang tak dilaporkan.

"Kita lihat di 13 negeri ada laporan mencatatkan 1,317 mangsa gangguan seksual dengan sekurang-kuranganya 368 orang ataupun 28 peratus daripadanya adalah mangsa lelaki di mana sebelum itu hanya berbelas, jadi kita dapat melihat peningkatan," katanya.

Menurutnya, didikan awal di rumah memainkan peranan besar dalam menyemai nilai murni terhadap institusi kekeluargaan.

"Nilai-nilai murni dalam masyarakat kita terutama sekali dalam keluarga perlu diperkuatkan lagi supaya kita tahu apa yang baik, apa yang tidak baik. Dalam perkara ini kita mahu kanak-kanak berani beritahu ibu bapa atau keluarganya, tak boleh cakap sesuatu yang tidak baik.

"Kita mahu kanak-kanak ini jadi duta keluarganya sendiri. Jangan bercakap demikian supaya tak jadi perkara normal kepada keluarga itu dan anak ini perlu diberi kesedaran dan mereka perlu berani mengadu," katanya.

Penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual di bawah Akta Anti Gangguan Seksual 2022 Akta 840 yang akan beroperasi sebelum Januari 2024 akan menjadi satu platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:07 AM