TUANKU Syed Faizuddin bersama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bergambar bersama maskot Tahun Melawat Perlis iaitu 'Beruk Kentoi' pada Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025  malam ini.
TUANKU Syed Faizuddin bersama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bergambar bersama maskot Tahun Melawat Perlis iaitu 'Beruk Kentoi' pada Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025 malam ini.
BERNAMA

Kangar: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat negeri itu secara tidak langsung adalah 'duta' Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan perlu memainkan peranan masing-masing.

"Berilah layanan yang beradab, sopan santun, berbudi bahasa dan mesra serta sentiasa menjaga imej dan persepsi baik para pelancong terhadap kita," titah baginda semasa merasmikan Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025 - Perlis Damai dan Menawan di Dewan 2020 di sini malam ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah pengunjung boleh meluangkan masa dengan meneroka keindahan dan keistimewaan Perlis selain menikmati makanan unik serta melawat tempat yang menarik dengan kos berpatutan.

"Keunikan bentuk muka bumi, landskap yang menarik, tarikan alam semula jadi dan sempadan yang memisahkan Malaysia-Thailand merupakan antara faktor tarikan utama negeri ini.

"Jadikanlah kenangan dan sematkan sebagai memori yang indah apabila anda berkunjung ke negeri Perlis.

"Berbelanjalah dengan membeli produk-produk keluaran tempatan. Dengan erti kata lain 'Perut Kenyang, Fikiran Tenang, Poket Tak Terkoyak," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah usaha dan promosi di Thailand terutama di wilayah selatan perlu dilipatgandakan dengan tujuan menarik lebih ramai rakyat negara jiran itu untuk memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis.

"Sedikit nasihat beta kepada semua, jadikan pengalaman kempen Tahun Melawat Perlis 2003-2005 yang lepas sebagai panduan dan titik tolak bagi mencapai kejayaan lebih baik bagi Tahun Melawat Perlis pada kali ini," titah baginda.

Baginda juga bertitah pemain industri termasuk pengusaha rumah inap, pelancongan, pemilik restoran serta pengendali pengangkutan awam perlu menambah baik prasarana masing-masing dengan mengutamakan kebersihan, mengukuhkan tahap keselamatan dan menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

"Juga yang paling mustahak ialah peka kepada kehendak pelanggan supaya mereka akan bertandang berulang kali," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 12:53 AM