CHOW (dua kanan) bergambar bersama Audrey Dermawan, Mikail Ong dan Siti Aminah yang memenangi anugerah pada Majlis Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang, malam ini FOTO NSTP
CHOW (dua kanan) bergambar bersama Audrey Dermawan, Mikail Ong dan Siti Aminah yang memenangi anugerah pada Majlis Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang, malam ini FOTO NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) merangkul tiga anugerah pada Majlis Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang 2023 di sini, malam ini.

Pencapaian itu menyaksikan NSTP muncul sebagai agensi media paling banyak memenangi anugerah bertema Simfoni Kelestarian edisi ke-10 itu, apabila mengungguli dua kategori utama yang dipertandingkan tahun ini.

Ketua Biro NSTP Pulau Pinang, Audrey Mellani Dermawan dinobat sebagai pemenang Anugerah Penulisan Rencana Cemerlang Bahasa Inggeris menerusi tiga siri artikel berjudul 'Underwater in 10 years', 'Climate change adaptation: States dragging their feet', dan 'Signs of Climate Change'.

Beliau yang bertugas sebagai wartawan akhbar New Straits Times sejak 2001 memenangi anugerah sama sejak 2019.

Manakala, artikel bertajuk 'Pulau Mutiara mesra basikal' dan 'Setiap hari berkayuh lebih 30 km cari rezeki' nukilan Siti Aminah Mohd Yusof yang disiarkan menerusi akhbar Berita Harian pada 10 Julai 2022 memenangi Anugerah Penulisan Rencana Cemerlang Bahasa Melayu.

Sementara itu, jurugambar NSTP, Muhammad Mikail Ong Abdullah meraih tempat kedua bagi Anugerah Foto Kewartawanan melalui artikel berjudul 'Pulau Mutiara mesra basikal'.

Audrey dan Siti Aminah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 manakala Muhammd Mikail memperoleh RM1,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Terdahulu, Chow berkata, penyampaian anugerah bagi kategori Pensijilan Pejabat Hijau Pulau Pinang, Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang dan Insentif Hijau Pulau Pinang adalah pengiktirafan kerajaan negeri terhadap segala usaha yang dicurahkan untuk kesejahteraan bumi.

"Pemenang memperlihatkan komitmen kukuh dalam mengambil langkah proaktif demi memastikan kesejahteraan alam sekitar terjamin dan kita seharusnya menjadikan mereka contoh teladan kepada perubahan alam sekitar.

"Pensijilan yang diberikan kepada 40 pejabat tahun ini merangkumi sektor awam dan swasta yang menerapkan amalan mesra alam sekitar terpuji termasuk mengiktiraf usaha kitar semula dan inisiatif penjimatan tenaga.

"Selain itu, tujuh pemenang yang memperjuangkan isu-isu alam sekitar melalui bidang kewartawanan dah fotografi turut diraikan di atas karya mereka yang sangat memberi impak kepada pembaca," katanya.

Sementara. Pengurus Besar, Majlis Pulau Pinang Hijau, Josephine Tan Mei Ling, pihaknya menerima sejumlah 31 penyertaan dan buat julung kalinya memperkenalkan kategori Anugerah Kewartawanan Muda tahun ini.

"Kami berharap rakan wartawan kami dapat meneroka isu alam sekitar dan menghasilkan artikel berkaitan alam semula jadi dan alam sekitar lestari di Pulau Pinang.

"Ia sekali gus menggalakkan mereka agar lebih prihatin terhadap perubahan iklim dan penyesuaian masalah berhubung isu berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 10:36 PM