AHMAD Said. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHMAD Said. FOTO Hairul Anuar Rahim
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said memaklumkan keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu bagi memberi laluan kepada orang baharu lebih muda untuk meneraju parti itu.

Ahmad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal berkata, beliau turut mencadangkan Datuk Rozi Mamat yang juga Setiausaha Umno Negeri sebagai pengganti.

"Saya sudah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan saya mencadangkan Datuk Rozi Mamat bagi menggantikan saya.

"Untuk makluman semua, keputusan yang dibuat ini adalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang baru yang lebih muda bagi meneraju Umno Negeri Terengganu," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Ahmad turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

"Saya memohon kemaafan kepada semua yang terlibat dalam pentadbiran saya selama ini, jika ada kekasaran atau kekurangan yang telah saya lakukan sepanjang pentadbiran saya di dalam Umno Negeri Terengganu.

"Saya berharap dengan pelantikan Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan yang baharu dapat menyuntik semangat baharu dalam pentadbiran Umno Negeri Terengganu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 9:38 PM