ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di tabika Kampung Mohd Amin dan Kampung Parit Abas, Benut di Pontian. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam banjir kilat di tabika Kampung Mohd Amin dan Kampung Parit Abas, Benut di Pontian. FOTO Ihsan Bomba.
Izz Laily Hussein dan Togi Marzuki


Johor Bahru: Seramai 46 murid, guru dan warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat di sebuah tabika di Kampung Mohd Amin di sini, hari ini berjaya diselamatkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pasukan 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bergegas ke lokasi sebaik dimaklum kejadian pada 3.30 petang.

Katanya, semua mangsa dibawa keluar ke kawasan lebih selamat dengan dua bot bomba dan satu bot awam.

"Mereka membabitkan 38 murid, enam guru dan dua warga emas yang seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira 25 kawasan sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak tengah hari.

Selain itu, Kampung Parit Abas, Benut di Pontian turut dilanda banjir dengan anggota BBP Pontian menyelamatkan lapan mangsa yang terperangkap di dalam rumah sejurus menerima panggilan pada 3.20 petang.

Mereka yang terperangkap adalah sekeluarga yang berusia antara lima hingga 81 tahun dan kini menumpang di rumah saudara.

Sehingga kini, belum ada pusat pemindahan sementara yang dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 8:59 PM