Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lima lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dengan pergaduhan dalam kejadian di Perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, hari ini.

Pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga tempatan itu dikatakan berlaku akibat perselisihan faham.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 2.30 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis menahan seorang lelaki yang mengalami cedera di kepala dan berlumuran darah serta memegang pistol.

"Polis turut menahan empat lagi lelaki di lokasi yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu

"Polis turut mengejar kereta dinaiki suspek disyaki terbabit dalam pergaduhan sama, namun berlaku perlanggaran antara kedua-dua motosikal yang dinaiki anggota polis berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham antara kumpulan lelaki berkenaan.

Katanya polis turut merampas sepucuk pistol dan sebilah senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan terbabit.

"Lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang cedera di kepala itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Manakala empat lagi yang berusia 24 hingga 34 tahun direman selama empat hari sehingga 8 Disember," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 5:17 PM
Lokasi kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan warga tempatan di Perumahan Projek Perumahan  Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Lokasi kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan warga tempatan di Perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI