ZAYN Rayyan yang juga kanak-kanak autisme dilapor hilang sejak semalam.
ZAYN Rayyan yang juga kanak-kanak autisme dilapor hilang sejak semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin walaupun sudah lebih 24 jam hilang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kanak-kanak itu masih belum ditemui setakat 3 petang ini.

Beliau berkata, operasi dengan kerjasama pasukan K9 dan bomba dijalankan di kesemua bangunan perumahan serta kawasan berhampiran namun, sehingga kini belum ada petunjuk mengenai keberadaan mangsa.

"Kita juga sudah merakam keterangan ibu bapa mangsa. Pencarian masih lagi diteruskan namun," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 6.36 petang semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata, kali terakhir kanak-kanak itu berada di kawasan perumahan di Apartment Idaman, Damansara Damai dengan memakai baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar hitam serta kasut sekolah hitam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:27 PM