FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kekurangan zat makanan dalam badan untuk tempoh lama boleh menyebabkan kesihatan seseorang individu merosot seterusnya membawa kepada kematian.

Pakar perunding pediatrik, Professor Madya Dr Mohamad Ikram Ilias berkata, pengambilan makanan kurang seimbang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan hingga membawa kematian jika berlaku dalam tempoh lama dan mencapai tahap kronik.

"Biasanya, pemakanan seimbang bukan hanya ada zat besi, tetapi ada zat penting lain seperti zat makro (karbohidrat, protein, lemak) dan mikro (vitamin, mineral).

"Semua ini merangkumi zat diperlukan badan dan menyumbang juga kepada kemerosotan kesihatan yang perlahan-lahan boleh menyebabkan kematian jika pengambilannya tidak mencukupi pada tempoh lama," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes kematian kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Bandar Tun Razak, di sini, Sabtu lalu.

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia itu berkata, kekurangan zat besi bukanlah secara langsung boleh menjadi punca menyebabkan kematian.

"Zat besi ini satu komponen utama dalam susu atau pemakanan kanak-kanak yang penting untuk pembentukan sel darah merah dan perkembangan fizikal minda terutama untuk enam tahun pertama kanak-kanak.

"Apabila kita kata zat makanan, maknanya bukan setakat zat besi kerana ia hanya satu daripada komponen, jadi ada kemungkinan zat lain pun dia terkesan juga," katanya.

Katanya, kekurangan zat besi sahaja tidak akan menyebabkan kematian mendadak kepada kanak-kanak kerana ia membabitkan semua komponen zat pemakanan.

"Kekurangan zat besi akan menyebabkan anemia (kekurangan sel darah merah) yang akan menyebabkan fizikal kanak-kanak itu terbantut dalam jangka masa panjang dan risiko perkembangan otak sebab ia diperlukan untuk perkembangan lima ke enam tahun yang pertama.

"Zat besi ini juga terlibat dalam imuniti, jadi senang terdedah kepada penyakit kalau kurang pengambilannya.

"Jadi mungkin disebabkan anemianya sangat teruk boleh menyebabkan jantungnya bermasalah dan keletihan yang mengakibatkan kesihatan pesakit merosot dan perlahan-lahan boleh menyebabkan kematian" katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, punca kematian kanak-kanak itu diketahui selepas pihaknya memperoleh keputusan bedah siasat mangsa.

Katanya, mangsa meninggal dunia disebabkan kekurangan zat besi dan makanan sekali gus didapati ada unsur pengabaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:14 PM